test1

Utusan Borneo Online (www.utusanborneo.com.my/2022/07/10)

MIRI: Pameran pendidikan anjuran Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) atau DTTAS Education Fair memulakan siri pertama Ogos depan merupakan landasan memberi ruang dan peluang kepada lepasan sekolah di luar bandar mendapatkan maklumat pendidikan, latihan dan bantuan pendidikan.

Melalui program itu, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak begitu cemerlang dan berjaya dalam akademik berpeluang memilih kursus atau bidang lain terutama kemahiran sesuai dengan kelulusan dan minat mereka.

Setiausaha Publisiti DTTAS Education Fair 2022, Malvina Albert Klinsing berkata DTTAS menyedari perkara ini dan oleh itu pertubuhan tersebut bercadang untuk memberi bimbingan dan panduan penting kepada golongan terbabit. 

"Kita mahu mereka dilengkapi dengan maklumat tepat dan dapat membantu mereka supaya tidak ada tersalah pilih laluan kerana jika ia berlaku, maka boleh membawa kepada masalah bagi mereka pada masa depan," katanya. 

Terdahulu, beliau hadir di RTM Miri di sini untuk rakaman program berkaitan untuk memastikan program pendidikan anjuran DTTAS itu sampai kepada kumpulan sasaran. 

ADVERTISEMENT

"Kita mahu mereka hadir ke program kami ini, kerana penganjuran program ini menjadi bimbingan dan panduan golongan pelajar membuat keputusan bijak dan tidak membazir masa dan wang ringgit seterusnya mengakibatkan mereka terlepas peluang mendapatkan pekerjaan lebih baik setelah tamat pengajian.

"Melalui program ini, kita mahu belia bergerak aktif menggunakan platform  disediakan kerajaan agar misi dan matlamat DTTAS melahirkan belia berketrampilan dapat direalisasikan pada tahap paling maksimum dan memberangsangkan," jelasnya. 

DTTAS mahu golongan belia di luar bandar memiliki pengetahuan dan kemahiran sesuai dengan pasaran kerja abad ke-21 ini antaranya kecekapan kognitif termasuk pengetahuan mendalam bidang diceburi, kemahiran penyelesaian masalah dan membuat keputusan dan keupayaan mengekalkan sifat-sifat peribadi berkaitan dengan sesuatu kerjaya. 

"Oleh itu, dengan memiliki segala kemahiran diperlukan memberi tiga implikasi besar iaitu pertama mempunyai keyakinan dan kepercayaan diri tinggi untuk mengimbangkan potensi diri, kedua keselarasan keperluan kemahiran antara majikan dengan graduan dan ketiga kualiti pendidikan tinggi dapat ditingkatkan.

"Justeru, graduan harus mempersiap diri dengan pelbagai kemahiran tambahan agar mereka boleh bersaing di pasaran pekerjaan sangat kompetitif. 

"Mereka juga harus sedar pencapaian akademik semata-mata tidak menjamin mereka mendapat jawatan setaraf dengan kelulusan mereka perolehi," katanya. 

Menurut Malvina, bagi memenuhi tuntutan lepasan SPM dan STPM ini siri pertama DTTAS Education Fair 2022 ini berlangsung pada 6 Ogos depan di Riveria Sport Centre, Debak bermula jam 8.30 pagi hingga 3.30 petang.  

Program anjuran DTTAS turut disertai oleh Yahos School of Skills dan serta Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), Institut Kemahiran Mara (IKM), Unit Misi Akademik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak serta agensi lain.

DTTAS Education Fair merupakan satu siri jelajah pendidikan dibuat dalam satu masa secara berterusan, bergerak dari satu daerah ke satu daerah.

"Selepas Debak, kami meneruskan siri jelajah ke pekan lain di luar bandar Sarawak dan perancangan awal kami memilih Kanowit sebagai destinasi seterusnya," jelas beliau. 

Sebarang makluman atau pertanyaan berhubung DTTAS Education Fair 2022 diadakan pada 6 Ogos depan di Riveria Sport Centre, orang ramai boleh menghubungi penyelaras program, Isau Omar di talian 010-8660965.  

  • Articles View Hits 309668

Kemaskini Terakhir: 8 Feb 2024