test1

MIRI: Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri semalam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat iaitu Sarawak Hidro Sdn Bhd, Significant Technologies Sdn Bhd  dan Borneo Safety Training Service. 

Majlis menandatangani memorandum itu diadakan di Dewan Kuliah ILP Miri.

MoU itu ditandatangani Pengarah ILP Miri Rosnah Muhamad Tahir, Pengurus Besar Sarawak Hidro Sdn Bhd Anuar Abu Bakar, Pengarah Urusan Borneo Safety Training Services Ramina Tadam dan Pengurus Besar Significant Technologies Sdn Bhd serta disaksikan Menteri Perhubungan merangkap Penasihat ILP Miri Datuk Lee Kim Shin.

Lee dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik dan perkongsian pintar antara institut dengan industri merupakan salah satu cara mencapai matlamat kerajaan melahirkan tenaga kerja mahir yang benar-benar kompeten sejajar dengan keperluan industri negara.

“Usaha yang dilaksanakan ini dapat membantu membangunkan keupayaan negara dalam melahir tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan serta kehendak pasaran kerja dalam industri,” katanya. 

Lee berharap lebih banyak sektor swasta dan syarikat menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti ILP bagi melahir lebih ramai tenaga kerja mahir.

Terdahulu, Rosnah dalam ucapannya berterima kasih kepada ketiga-tiga syarikat atas minat mereka untuk bekerjasama dengan ILP dan berharap kedua-dua pihak akan mendapat manfaat.

“Kerjasama pintar ini diharap dapat menjadi titik tolak kepada hubungan dua hala yang positif dan proaktif antara kedua-dua pihak. Melalui kerjasama ini juga, saya berharap dapat membantu mengurangkan masalah sumber manusia industri,” katanya.

  • Articles View Hits 307769

Kemaskini Terakhir: 8 Feb 2024