IPOH - Pertindihan antara kementerian dalam menyediakan pendidikan kemahiran di negara ini dijangka akan dibincangkan dalam Kabinet. Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, pihaknya akan meminta laporan daripada agensi berkaitan mengenai kewujudan beberapa institusi kemahiran di bawah kementerian selain Kementerian Sumber Manusia. Katanya, semua institusi kemahiran ini mungkin akan diselaraskan kembali untuk diletakkan di dalam satu kementerian. “Kita sepatutnya tak perlu ada persaingan antara kementerian (dalam menyediakan pendidikan kemahiran) sebab kita satu keluarga. Apa yang Kementerian Sumber Manusia dah buat tak perlu yang lain buat sebab membazir duit sahaja.“Kita mahu bersaing dengan pihak usahawan swasta dan bersaing dengan negara lain (dalam bidang kemahiran), jadi yang terbaik di dunia,” katanya kepada media. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, di sini hari ini. Kulasegaran berkata, kerajaan memandangkan serius soal pertindihan fungsi atau tugas jabatan mahupun agensi sedia ada. “Kita boleh lihat contoh pemansuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mempunyai fungsi sama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tapi diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk apa? “Jadi dalam soal ini (institusi kemahiran), kita akan lihat secara teliti dan bentangkan dalam kabinet,” katanya. Sebelum ini, beberapa kementerian mempunyai program latihan kemahiran melalui institut yang diwujudkan dengan tujuan sama iaitu melahirkan tenaga mahir. Antara kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, serta Kementerian Kewangan.