test1

SERIAN: Ibu bapa dinasihati mengambil tahu berkaitan kursus yang ditawarkan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kepada anak-anak mereka, kata Duta Khas Perdana Menteri ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Menurutnya, hal berikut penting kerana dikhuatiri beberapa kursus yang ditawarkan di IPTS tidak mendapat pengiktirafan kerajaan.

“Sebaik sahaja pelajar tamat peperiksaan SPM atau STPM, banyak institusi swasta akan menawarkan kursus pengajian tinggi agar mereka memohon di tempat tersebut.

“Bagaimanapun, perlu berhati-hati kerana ada antara kursus ini tidak diiktiraf oleh kerajaan menyebabkan mereka berdepan dengan masalah setelah tamat pengajian kerana kelayakan tersebut tidak bernilai,” katanya pada majlis penyampaian insentif di Kampung Pichin.

Richard yang juga Ahli Parlimen Serian memberitahu, kes melibatkan pelajar tidak mempunyai hala tuju selepas tamat pengajian kerap berlaku berdasarkan pengalamannya.

Tambahnya, kursus yang tidak diiktiraf ini akan menambahkan lagi kesukaran pelajar dan ibu bapa untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Justeru, beliau menegaskan agar ibu bapa lebih peka tentang pemilihan kursus yang ditawarkan agar perkara sedemikian dapat dielakkan demi masa depan anak-anak, khususnya.

“Saya merayu kepada ibu bapa supaya berhati-hati sebelum menghantar anak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi agar perkara tidak diingini dapat dielakkan,” katanya.

Sementara, Richard turut menggesa ibu bapa agar menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran dalam pembelajaran kemahiran profesional.

Katanya, Sarawak mempunyai tiga institut latihan industri (ILP) yang ditawarkan kepada pelajar terletak di Serian, Kota Samarahan dan Miri.

  • Articles View Hits 309913

Kemaskini Terakhir: 8 Feb 2024